RM200,000 pulih tanah terbiar -BALING

CREDIT 2 SINAR HARIAN
19 OGOS 2009

KAMPUNG SADEK - Penduduk di kawasan luar bandar diingatkan supaya memajukan tanah terbiar dengan tanaman yang menguntungkan ke arah meningkatkan ekonomi keluarga.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Abd Jabar Che Nai berkata, penduduk luar bandar perlu mengusahakan tanah terbiar secara berkelompok supaya bantuan dapat disalurkan dengan mudah.

Menurutnya, tanah yang terbiar perlu dimajukan semula dan menggerakkan ekonomi secara berterusan kerana agensi yang terbabit dengan pertanian sentiasa membantu memajukan mereka secara elektif.

“Saya minta petani bersatu hati dan bergabung tenaga untuk memajukan tanah terbiar secara berkelompok kerana lebih mudah kerajaan menyalurkan bantuan itu dan mengawasi setiap projek itu secara tersusun dan terjadual.

“Dengan adanya semangat kerjasama sudah tentu setiap projek yang dijalankan itu mendapat hasil menguntungkan,” katanya pada majlis ramah mesra dengan penduduk serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan Kupang, semalam.

Beliau berkata, kerajaan mempe�runtukkan perbelanjaan yang banyak untuk memajukan tanah yang terbiar di negeri ini supaya petani dapat merebut peluang yang disediakan kerajaan untuk menjalankan projek itu secara berkelompok.

“Setakat ini beberapa kawasan tanah yang terbiar telah dikenal pasti untuk dimajukan dengan pertanian kerana ia boleh mendatangkan pendapatan lumayan dan berkualiti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta masyarakat maju dan bergerak seiring dengan peredaran zaman supaya ekonomi keluarga dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, muafakat antara satu sama lain perlu ditanam dalam jiwa masyarakat itu sendiri dan elakkan daripada berpecah belah kerana hal remeh temeh.

“Jangan campur adukkan soal politik sehingga menggugat keharmonian di kawasan kampung kerana ia tidak membawa keuntungan mana-mana pihak sebaliknya kuatkan azam untuk berjaya dalam pelbagai bidang.

“Orang lain tidak akan me�ngubah diri kita melainkan kita sendiri yang mencorakkan masa depan kita sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, kementeriannya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk memulihkan tanah terbiar di Kampung Padang Dan dan Kampung Kuala Kuang, mukim Kupang untuk dimajukan dengan pertanian.

“Kita memperuntukkan bantuan berkenaan sebab banyak tanah terbiar di kawasan itu mempunyai potensi untuk dimajukan dengan pertanian moden ke arah mempertingkatkan ekonomi penduduk.

“Saya menyarankan golongan muda perlu merebut peluang untuk berbakti kepada tanah dan mengusahakan dengan bersungguh-sungguh kerana bidang pertanian juga mampu menjana ekonomi yang meluas kepada mereka,” katanya.

Jabar berkata, kerajaan melalui kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah giat bergerak untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar terutamanya bantuan rumah kepada penduduk yang masih daif.

“Kita akan membantu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh dua tahun ini supaya kehidupan mereka akan berubah,” katanya.

0 Responses to RM200,000 pulih tanah terbiar -BALING