Pertahan kontrak sosial demi keamanan-SULTAN KEDAH

CREDIT TO SINAR HARIAN
19 OGOS 2009

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memberi amaran negara akan huru-hara dan masyarakat ditimpa bencana jika kontrak sosial dipertikaikan serta dijadikan bahan politik.

Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan negara akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.:

Titah baginda kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara suci yang mempunyai ‘rahsia’ dan harus dipertahankan kerana ia menjamin kerukunan serta keamanan negara.

“Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara.

“Sesungguhnya kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum -kaum lain iaitu memberi hak kerakyatan. Namun sejak akhir-akhir ini, keharmonian itu kian terjejas, berikutan adanya pihak-pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan tertentu,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan di sini, semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Sultan Kedah turut mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik, pegawai kerajaan dan rakyat umum supaya memandang serius serta mengambil iktibar mengenai perkara itu.

Baginda mahu pembuat dasar kerajaan memahami dengan jelas Perlembagaan Persekutuan supaya kepentingan kaum-kaum lain di negara ini terjamin dan terus menikmati hak mereka sebagai warganegara.:

Titah baginda, keamanan yang kecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin terdahulu.

“Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan Perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Hak Istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.

“Kontrak sosial ini merupak:an suatu pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum-kaum lain. Oleh itu tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semul:a atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,” titah baginda.

Baginda kesal kerana akhir-akhir ini ada pihak berani mempertikaikan peruntukan tersebut sehingga menampakkan tanda keharmonian yang wujud sejak Kemerdekaan Negara 52 tahun lalu mula terjejas.

“Kenyataan berani mereka yang menyentuh Hak-hak Keistimewaan menimbulkan kemarahan pemimpin dan bangsa Melayu.

“Situasi ini jika tidak dibendung, boleh membawa kepada ketegangan kaum di negara kita. Beta berharap rakyat dan anggota kerajaan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Perlembagaan Persekutuan dan ianya perlu difahami,” titah baginda.

Pembuat dasar kerajaan juga diingatkan oleh baginda supaya memahami peruntukan undang-undang agar dasar yang dibuat tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, supaya kepentingan semua kaum terus terpelihara.

0 Responses to Pertahan kontrak sosial demi keamanan-SULTAN KEDAH