Tiga lagi korban selesema babi -19 OGOS 2009

KUALA LUMPUR - Tiga lagi kematian dicatatkan akibat wabak Influenza A(H1N1) di negara ini, menjadikan kematian 67 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga kematian itu melibatkan mereka yang berisiko tinggi termasuk wanita berumur 33 tahun yang disahkan meninggal dunia disebabkan ‘severe bronchopneumonia’ dan H1N1 pada 12 Ogos selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada 7 Ogos.

“Mangsa kedua adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dimasukkan ke hospital pada 17 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia kerana ’systematic lupus erythematous with severe pneumonia with renal impairment’ pada 13 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mangsa ketiga seorang warga emas, 71, yang dimasukkan ke hospital selepas demam, batuk dan susah bernafas selama dua hari dan meninggal dunia 14 Ogos lalu.

Sehingga pagi semalam, jumlah pesakit H1N1 yang menerima rawatan di wad adalah 276 orang manakala 36 orang yang disahkan positif H1N1 sedang dirawat di ICU di seluruh negara.

“Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU itu, 21 kes didapati mempunyai faktor risiko,” katanya.

0 Responses to Tiga lagi korban selesema babi -19 OGOS 2009