GPT tiada masalah pengeluaran gula

Credit 2 SINAR HARIAN
19 OGOS 2009

KUALA NERANG - Di sebalik masalah kekurangan bekalan gula dalam pasaran, syarikat Kilang Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPT) di sini tidak pernah mengurangkan pengeluaran yang mungkin menimbulkan tanggapan seolah-olah krisis tersebut berpunca daripada pihak pengeluar.

Pengurus Besar GPT, Mohd Fauzi Musa berkata, apa yang sebaliknya ialah pihaknya telah meningkatkan pengeluaran sebanyak 37 peratus daripada 57,100 tan gula bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu kepada 78,600 tan bagi tempoh yang sama tahun ini.

Menurutnya, masalah ini tidak pernah berlaku dalam tempoh dua tahun lalu dan krisis pada hari ini berlaku tanpa sebab yang praktikal.

“Ini yang menghairankan. Bagi pengeluaran yang kurang 21,500 tan tahun lalu, kita tidak pula menghadapi krisis bekalan gula sebaliknya apabila pengeluaran ditambah tahun ini, tiba-tiba berlaku masalah pula.

“Kenaikan pengelua�ran 37 peratus ini bukan sedikit kerana secara logiknya ia dapat menampung permintaan normal pengguna semasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Fauzi bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi berhubung krisis itu, sama ada masalah berlaku di pihak pemborong, peruncit ataupun pengguna sendiri.

“Kami hanya menjalankan tanggungjawab kami sebagai pengeluar dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. Cuma secara peribadi, saya berasa hairan juga apabila masalah kekurangan bekalan boleh berlaku pada masa kami meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi semasa, GPT mengeluarkan 48,000 tan gula mentah dan 11,000 tan gula putih mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan gula mencukupi bagi kemuda�han pengguna mendapat bekalan menjelang musim perayaan nanti.

Sementara itu, di Alor Setar, Bernama melaporkan tindakan peniaga makanan yang khuatir mengenai krisis bekalan gula pada bulan puasa ini menyebabkan kebanyakan mereka memborong gula secara berlebihan sehingga mengakibatkan bekalan gula mulai berkurangan di Kedah.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah, Mohd Salleh Ma’amor berkata, penguat kuasa kementerian itu sedang memantau bekalan gula di Kedah dan mendapati bekalannya semakin berkurangan.

“Saya harap orang ramai jangan panik, kami dapati ramai peniaga makanan yang membeli gula dengan banyak untuk simpanan di bulan puasa dan perbuatan ini boleh mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan gula dalam negeri,” katanya kepada media selepas pelancaran Kempen Tanda Harga di Pasar Simpang Kuala di Alor Setar, semalam.

Mohd Salleh berkata, tindakan peniaga itu boleh menyebabkan pemborong gula mengambil kesempatan untuk mengurangkan bekalan dan kemudiannya menaikkan harga gula nanti walaupun ia barang kawalan

0 Responses to GPT tiada masalah pengeluaran gula