Pengkhianat Melayu perlu ditentang – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak gentar walaupun menghadapi saman beratus juta ringgit malah akan menentang habis-habisan puak penderhaka bangsa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, urusan masa depan orang Melayu belum lagi selesai dan beliau tidak boleh menerima masa depan bangsanya dipertaruhkan semata-mata kerana nafsu serakah politik pihak tertentu.

Beliau menyifatkan bahaya kini berlegar-legar sebelum menimpa bangsa Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyanggah keras sikap pihak berkenaan yang menjaja cerita di seluruh negara kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi berminat membantu orang Melayu sebaliknya hanya mementingkan keperluan kaum lain.

“Seolah-olah kita berkompromi terlalu banyak (untuk kaum lain), ingatan tegas daripada saya bahawa, itu adalah tidak betul dan selagi UMNO dan BN mentadbir negara, ia tidak akan berlaku.

“Sekarang ini ada Melayu tidak mahu menolong Melayu tetapi mengkhianati Melayu,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini hari ini.

Beliau menegaskan, kenyataannya mengenai kedudukan orang Melayu terbit daripada keikhlasan dalam dirinya dan bukan kenyataan bagi meraih simpati politik.

“Saya sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya sudah tidak ada apa lagi, tetapi saudara-saudara semua ini yang saya risau,” katanya.

Muhyiddin bakal berhadapan dengan tindakan saman berjumlah RM100 juta daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabelnya sebagai pengkhianat Melayu.

Kenyataan Muhyiddin itu disokong beberapa individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd. Nor yang menyatakan kesediaannya menjadi saksi utama dalam kes tersebut.

Sokongan terhadap kenyataan Muhyiddin itu juga kini bergema di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri menambah, selepas pilihan raya umum tahun lalu, muncul juga orang Melayu yang sudah berjaya tetapi bersungguh-sungguh menuduh kerajaan yang ada kini sudah lupa tujuan kewujudannya.

Dalam konteks itu, beliau mempersoalkan apakah dalam tempoh 52 tahun kemerdekaan negara, UMNO tidak pernah menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.

Jika UMNO tidak berjasa kata beliau, bagaimana boleh wujud masyarakat Melayu yang berjaya dan hidup senang pada hari ini.

Beliau berkata, UMNO memberikan perhatian kepada orang Melayu di semua peringkat termasuk golongan usahawan dan sentiasa berusaha memastikan kelompok itu terselamat apabila ekonomi mula merudum.

Muhyiddin juga mahu rakyat berfikir apakah UMNO dan BN akan mencabuli Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang asalnya diwujudkan atas dasar persefahaman dan muafakat bersama.

“Takkan kita hendak mencabuli DEB, mencabuli kontrak sosial kita selama ini,” katanya.

Beliau berkata, pemikiran memburukkan kerajaan wujud daripada benih-benih kebencian yang ditanamkan pembangkang.

“Kalau ada pihak-pihak seperti ini, yang hendak meraih peluang menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang, dia hanya mahu memenuhi nafsu politik sendiri yang rakus,” katanya

0 Responses to Pengkhianat Melayu perlu ditentang – Muhyiddin