‘1Malaysia’ beri hak semua rakyat

DERGA - Konsep ‘ 1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah satu pendekatan murni kerana ia tidak meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat di negara ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Dr Cheah Soon Hai menyokong sepenuhnya konsep itu kerana melalui pendekatan itu, semua rakyat akan mendapat hak dan kebajikan yang sama rata tanpa ada sebarang ketidakadilan. Menurutnya, prinsip itu juga membuktikan kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat tetapi lebih memberi perhatian kepada permasalahan rakyat sehingga ke peringkat akar umbi. “ Justeru selaku wakil rakyat, saya juga bertekad akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya untuk menjaga kebajikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan Derga. “ Saya akan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat dan akan menggunakan konsep ‘ 1Malaysia’ iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dalam setiap tugas yang saya laksanakan supaya ia mendapat kejayaan yang sempurna dan terbaik demi memberikan kepuasan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan DUN Derga. Beliau yang juga Pengerusi Parti Gerakan Negeri Kedah berkata, konsep itu juga merupakan satu perubahan dan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri demi memberikan yang terbaik kepada rakyat sekali gus memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang bersatu padu dan harmoni. Menurutnya, konsep itu juga bukanlah semata-mata untuk kepentingan rakyat, malah rakyat juga perlu menghormati institusi beraja seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan. “Jika rakyat menghormati kesemua prinsip Rukun Negara maka saya yakin, kita akan hidup dalam keadaan yang bersatu dan tidak akan berlaku sebarang perpecahan seperti yang berlaku di negara luar. “ Apa yang penting ialah jika kita bersatu, kita akan teguh tetapi jika kita bercerai, kita akan roboh.Itulah prinsip hidup yang saya pegang untuk menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin kepada rakyat. “ Justeru, bagi merealisasikan semua hasrat murni ini saya berjanji akan sentiasa turun padang dan mendekati rakyat dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti ini yang sentiasa prihatin kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan,” katanya.

0 Responses to ‘1Malaysia’ beri hak semua rakyat