Tingkat peluang kerja kepada golongan wanita

credit to Sinar Harian


CHARUK KIT - Pelbagai peluang kerja dan kursus akan ditingkatkan dalam kalangan ahli Pergerakan Wanita UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sik bagi meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, hasrat tersebut akan direalisasikan apabila siapnya sebuah kilang di daerah Baling kelak. Menurutnya, hubungan masyarakat Sik dan Baling sudah menjadi seperti adik-beradik, tambahan pula kedudukan kedua-dua daerah ini saling berjiran serta berada di kawasan luar bandar. “Saya sentiasa berusaha dan memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan kedua-dua daerah ini akan mendapat manfaat bersama walaupun pada dasarnya keutamaan lebih diberikan kepada masyarakat Baling. “Melalui perancangan ini nanti, saya percaya lebih ramai golongan wanita dan puteri berpeluang mendapat pekerjaan bagi membina kehidupan lebih stabil serta terjamin,” katanya sewaktu merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Sik. Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk mengadakan pelbagai kursus kemahiran kepada golongan seperti ibu tunggal, bagi membantu mereka berdikari mencari pendapatan untuk menanggung keluarga. “Saya juga berharap, Puteri UMNO Sik, sentiasa berusaha untuk meningkatkan keterampilan diri dan melengkapkan diri dengan asas agama yang kukuh, serta ilmu pengetahuan bermanfaat kepada diri serta masyarakat. “Aspek berkenaan amat penting bagi memperlihatkan kredibiliti mereka apabila berhadapan dengan masyarakat, terutamanya apabila ingin menarik lebih ramai ahli baru menyertai Pergerakan Puteri UMNO,” katanya. Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sik, Norashimah Md Nowar berkata, pihaknya telah mengatur pelbagai rancangan khususnya untuk Puteri UMNO Sik. “Kemungkinan pada bulan Oktober nanti, kami akan mengadakan jualan amal sempena Sambutan Hari Pengguna dan akan melelong barang-barang milik sendiri seperti pakaian, beg dan kasut untuk mengisi Tabung Puteri,” katanya.

0 Responses to Tingkat peluang kerja kepada golongan wanita