Umno Baling beri RM200 murid dapat 5A UPSR


oleh Bharian

BALING: Umno Bahagian Baling memperuntukkan RM18,000 tahun ini untuk diberikan kepada 90 pelajar di daerah ini yang berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pelajar terbabit masing-masing akan menerima RM200 dalam bentuk simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Umno Bahagian Baling membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan itu kepada pelajar cemerlang UPSR yang berjaya mendapat 5A tahun ini dalam mesyuarat ahli jawatankuasa pertamanya kelmarin.

“Mereka akan diminta membuka akaun SSPN untuk membolehkan bantuan itu disalurkan sebagai simpanan permulaan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar cemerlang yang mendapat 5A di Sekolah Kebangsaan Baling, di sini, semalam.

Seramai 25 pelajar sekolah itu mendapat keputusan 5A dalam UPSR diumumkan semalam.

Beliau berkata, simpanan itu adalah asas untuk kegunaan pelajar terbabit bagi meneruskan pelajaran mereka pada masa depan.

Pada masa sama, katanya, Umno Bahagian Baling sedang memikirkan kaedah terbaik memberikan bantuan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini.

“Bantuan atau hadiah seperti itu ternyata berjaya meningkatkan persaingan di kalangan pelajar luar bandar supaya prestasi pelajaran mereka lebih baik.

“Selain itu, ia juga sebagai motivasi kepada mereka supaya terus berusaha supaya setanding dengan pelajar di bandar,” katanya.

Sejak 10 tahun lalu, Abdul Azeez yang sebelum ini adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Baling menghadiahkan 700 basikal kepada pelajar cemerlang di daerah itu sebagai pendorong mereka terus gigih dalam pelajaran. “Bantuan itu akan diberikan berterusan setiap tahun sebagai motivasi kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Abdul Azeez berkata, ibu bapa juga perlu sedar mengenai kepentingan pendidikan kepada anak masing-masing kerana ilmu pengetahuan adalah antara cara untuk mengubah kehidupan pada masa depan.

Beliau berkata, Umno bahagian Baling akan menjadikan usaha meningkatkan pendidikan pelajar di daerah itu sebagai antara agenda utamanya supaya pelajar luar bandar terus cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

0 Responses to Umno Baling beri RM200 murid dapat 5A UPSR