3,482 calon dapat semua A di Kedah

oleh Utusan

ALOR STAR 13 Nov. - Seramai 3,482 pelajar atau 8.69 peratus daripada 40,991 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 di negeri ini berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman berkata, keseluruhan pelajar yang berjaya menguasai tahap minimum dalam semua mata pelajaran pula ialah seramai 24,775 orang atau 61.84 peratus.

Katanya, pencapaian gred purata negeri pada tahun ini ialah 2.417.

"Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat mendidik murid-murid di negeri ini sehingga ramai di kalangan mereka berjaya dengan cemerlang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada, kejayaan para pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang taraf kehidupan membuktikan setiap orang mampu memperoleh kecemerlangan dalam UPSR selagi ada usaha dan kemahuan.

Seorang anak pesawah, Nor Shamira Shanum dari Kampung Pulau Pisang, Tunjang membuktikan latar belakang keluarganya bukan penghalang baginya meraih keputusan 5A dalam UPSR.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra itu sebaliknya menjadikan kesusahan hidup keluarganya itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mahu mencipta kejayaan sekali gus membantu keluarganya menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Saya amat gembira dengan keputusan ini dan berharap cita-cita untuk menjadi seorang doktor akan menjadi kenyataan supaya dapat membantu keluarga apabila dewasa nanti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

0 Responses to 3,482 calon dapat semua A di Kedah