MAS cadang sedia penerbangan terus haji Alor Star-Jeddah


oleh Utusan

KUALA TERENGGANU 13 Nov. - Penerbangan Malaysia (MAS) bercadang menyediakan penerbangan terus untuk jemaah haji dari Lapangan Terbang Alor Star (LTAS) ke Jeddah tahun depan, dalam usahanya menyediakan kemudahan terbaik kepada umat Islam menunaikan rukun Islam itu.

Penolong Pengurus Besar (Haji dan Penempahan) MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussin berkata, rundingan ke arah itu sedang berlangsung dengan pihak-pihak yang terbabit.

Beliau berkata, dengan adanya penerbangan terus Alor Star-Jeddah, ia membuktikan keprihatinan MAS kerana apabila dilaksanakan ia mampu menjimatkan perbelanjaan jemaah haji dari Kedah.

''Begitu juga di Terengganu, apabila kita mengadakan penerbangan terus ke Jeddah, keluarga jemaah boleh jimat wang kerana untuk ke ibu negara mereka pastinya menghabiskan wang antara RM1,000 hingga RM2,000 seorang," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kumpulan pertama 355 jemaah haji dari Pantai Timur yang menaiki penerbangan pertama MAS secara terus ke Jeddah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari dan Pengarah Eksekutif MAS, Tengku Azmil Zahruddin.

Menurut Nik Huzlan, selain penerbangan terus Alor Star-Jeddah dan Kuala Terengganu-Jeddah, MAS juga bercadang membawa jemaah haji dari Selatan Thailand.

''Setakat ini, MAS membawa 13,500 jemaah haji dan ia akan ditambah jika ada permintaan," katanya.

Mengenai penerbangan pertama dari LTSM hari ini, Nik Huzlan memberitahu, jemaah haji berlepas pada pukul 11.50 pagi menaiki pesawat MH8036.

Katanya, sebanyak lapan penerbangan terus akan berlepas dari LTSM ke Jeddah untuk membawa jemaah haji dari Pantai Timur hingga 25 November ini manakala penerbangan balik bermula 26 Disember ini hingga 9 Januari depan.

0 Responses to MAS cadang sedia penerbangan terus haji Alor Star-Jeddah