Harga beras akan diturunkan


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Harga beras Super Tempatan Lima Peratus Hancur (ST5) dan Super Tempatan 10 Peratus Hancur (ST10) akan diturunkan dalam tempoh terdekat apabila langkah pentadbiran pewartaan dilakukan kerajaan minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed (gambar) berkata, bagaimanapun harga beras ST15 tidak akan diturunkan kerana harganya sudah rendah ketika ini iaitu RM1.80 sekilogram dan ia juga tidak pernah mengalami kenaikan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, harga beras ST5 dan ST10 juga sebenarnya sudah rendah kerana terdapat beberapa syarikat yang telah menurunkan harga walaupun harga silingnya masing- masing adalah RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

''Realitinya harga sudah rendah. Bagaimanapun, kerajaan akan melaksanakan langkah pentadbiran untuk memastikan semua pemborong dan peruncit mengikut arahan kerajaan bagi menurunkan harga beras berkenaan.

''Oleh itu, kita akan wartakan langkah pentadbiran ini pada minggu depan dan meletak harga baru bagi beras ST5 dan ST10," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) yang mencadangkan penurunan harga beras ekoran harga runcit minyak telah diturunkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ekoran kenaikan harga beras baru-baru ini, kerajaan mula memperluaskan kawalan harga ke atas beras ST5 dan ST10 sejak Jun lalu bagi memastikan harganya tidak melambung tinggi.

Kawalan bagi harga beras ST15 pula telah dimulakan sejak tahun 1998.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Mustapa berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemborong bagi membincangkan penurunan harga beras tersebut.

''Pemborong sudah setuju untuk berjumpa, bagaimanapun, kadar harga baru itu belum ditentukan lagi," katanya.

Mustapa berkata, secara umumnya bekalan beras ST15 mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi kementerian melalui Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras di talian 03-88701738.


sumber Utusan Malaysia

1 Response to Harga beras akan diturunkan

  1. Pak Pelandok Says:
    BAGUIH LA LAGU TU..

    Tak la makan bubuq je..

    Malaysia memang baguih.