PR ambil pendekatan baru


oleh SinarHarian


KULIM - Parti di bawah Pakatan Rakyat (PR) akan terus membangunkan kawasan Kulim/Bandar Bharu dengan mengambil pendekatan baru bagi membangunkan ekonomi penduduk kawasan itu terutama Bandar Bahru yang sedikit mundur.

Ahli Parlimennya, Zulkifli Noordin memberitahu, pendekatan mikro membangunkan daerah ini diambil dengan menyentuh isu sebenar yang dihadapi rakyat dan kemudiannya digunakan dalam perancangan dan pembangunan tempatan.

“Apa yang kita maksudkan adalah pendekatan itu dimulakan dengan memberi tumpuan kepada kes-kes terpencil di mana ia membabitkan masyarakat setempat seperti keperluan terhadap keluarga miskin terutamanya membabitkan masalah perumahan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, apa yang PR ingin rakyat tahu adalah kedudukan bajet yang agak terhad di mana mereka tidak mendapat peruntukan RM1 juta daripada kerajaan untuk pembangunan ini dan kerajaan PR perlu mencari dana sendiri.

“Contohnya, apabila terdapat masalah rumah keluarga miskin, kita mengeluarkan dana sebanyak RM60,000 bagi membantu tiga keluarga di Lubuk Buntar, Mahang dan Taka untuk mendapatkan rumah.

Pendekatan kedua yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah inginkan kehidupan yang lebih aman dan selamat, untuk itu usaha mengurangkan masalah jenayah khasnya di Kulim, seperti kes pecah kenderaan, ragut perlu dilakukan, katanya.

Beliau memberitahu, bagi tujuan tersebut kerajaan merangka menubuhkan satu jawatankuasa bertindak baru dibentuk,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa seperti itu penting diwujudkan seperti yang telah dilakukan sebelum ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Rakyat Kulim (JKRK), di mana tugasnya adalah untuk membantu polis dalam menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat di Kulim ini.

Zulkifli berkata, penubuhan jawatankuasa seperti JKRK itu perlu bagi membantu polis dalam membendung serta mengurangkan kes-kes jenayah di bandar ini dan menjadikan kawasan tersebut lebih aman dan selamat.

Mereka terbabit dalam jawatankuasa ini adalah individu yang mempunyai sistem komunikasi dua hala seperti pemandu teksi dan pemandu ‘tow-truck’, ini kerana kemudahan seperti itu akan lebih mudah untuk menghubungi pihak berkuasa.

“Kita sedia maklum masalah jenayah seperti kes ragut dan penyeluk saku adalah tinggi di daerah ini, tetapi sejak diwujudkan JKRK ini banyak perubahan berlaku dan kita dapati kes jenayah seperti ini semakin berkurangan, katanya.

Selain daripada itu, beliau memberitahu, kawasan yang perlu diberikan perhatian terhadap masalah penduduk di Bandar Bharu ini ialah di kawasan Permatang Pasir dan Parit Nibong.

Katanya, masih terdapat penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan yang masih bergantung pada sistem tali air serta masalah penyelenggaraan. Kawasan ini juga sering dilanda banjir, sedangkan ini adalah kawasan penanaman padi.

0 Responses to PR ambil pendekatan baru