Mana janji pilihan raya



PADANG PUSING – Penduduk di Kampung Batu Hampar Kiri dekat sini, kesal dengan sikap sambil lewa pihak tertentu gagal menangani masalah infrastruktur dan kemudahan asas di tempat mereka.

Seorang penduduk, Mawardi Murad, 25, berkata, sekian lama mereka menunggu pembangunan dibawa masuk ke kampung itu seperti jalan berturap, tetapi hampa.

Katanya, beberapa kali mereka mengemukakan aduan terutama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga wakil rakyat kawasan itu, semuanya gagal dan tiada tindakan diambil.

“Sehingga kini, sebanyak tiga permohonan diadukan kepada PBT berkenaan iaitu dari tahun 2000, 2007 dan awal tahun ini, malangnya permohonan itu tidak diambil tindakan.

“Apabila kita merujuk kepada PBT berkenaan, surat permohonan itu ada, namun tidak dilayan,” katanya kepada Sinar Harian di Kampung Batu Hampar Kiri dekat sini, semalam.

Menurut Mawardi, jalan yang mereka harapkan dapat diturap itu menjadi laluan utama ke pusat bandar dan kampung berhampiran seperti Kampung Kebun Sawa, Sukamari dan Tok Besah.

Katanya, lebih menyulitkan apabila hujan menyebabkan jalan tidak berturap itu berselut dan dinaiki air sehingga paras pinggang.

Seorang lagi penduduk, Abd. Hadis Ghani, 52, berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk yang berkenderaan memasuki kampung berkenaan kerana tersangkut akibat selut.

“Kawasan ini mempunyai enam rumah melibatkan enam keluarga dan kami terpaksa menghadapinya walaupun pelbagai masalah berlaku,” katanya.

Menurut Yahaya Hussain, 57, membimbangkan mereka ialah jika ada kalangan penduduk menghadapi kecemasan.

Katanya, kenderaan tidak dapat masuk ke rumah berkenaan untuk membawanya ke hospital kerana sempit dan tidak berturap.

“Kita berharap pihak berkenaan mengambil langkah segera mengatasinya bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

“Sudah tiba masanya, kerajaan negeri menunaikan janji pilihan raya untuk membantu rakyat dan membawa pembangunan kepada penduduk kampung,” katanya.

Masa kempen bukan main lagi...bila dh perintah kena bagi,....tak leh bagi sumer bagi la skit2..janji bagi..tak gitu??

0 Responses to Mana janji pilihan raya