Ambil berat masalah kami: Nelayan



KUALA KEDAH – Rata-rata nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah (PNKKK) mengharapkan Jabatan Perikanan menimbang semula syarat-syarat yang dikenakan untuk memohon lesen vessel dan peralatan menangkap ikan.

Pengerusi PNK Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata, seramai 600 nelayan di bawah persatuan ini memohon untuk mendapatkan lesen di Jabatan Perikanan, Kementerian Pertanian.

Menurutnya, pihak persatuan menerima permohonan daripada ahli dan menyelidik secara terperinci sebelum dihantar kepada Jabatan Perikanan.

“Seramai lebih 600 permohonan warga nelayan menghantarkan borang kepada persatuan dan pihak kami akan membuat siasatan serta menyelidik lebih terperinci mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Hanya 575 permohonan yang diluluskan di peringkat saringan melalui persatuan dan dihantar kepada Jabatan Perikanan untuk diproses tetapi hingga kini tiada perkembangan positif dilihat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, kelmarin.

Ketika ditanya sebab permohonan itu tidak diluluskan hingga kini, Abdul berkata, pihak Jabatan Perikanan telah menetapkan peraturan bahawa nelayan tidak boleh menggunakan enjin jenis Ekor Panjang kerana ia tidak selamat digunakan.

“Kebanyakan nelayan di sini tidak mampu membeli enjin jenis Sangkut seperti yang disarankan kerajaan selain memerlukan kos yang tinggi untuk menyelenggara enjin berkenaan.

“Enjin Sangkut juga tidak fleksibel kerana tidak dapat bergerak pada permukaan yang berselut dan menyukarkan nelayan menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata, enjin Ekor Panjang bukan sahaja murah tetapi kos untuk menyelenggara juga jimat serta lebih mudah untuk dikendalikan berbanding enjin Sangkut.

“Harga enjin Ekor Panjang sekitar RM2,400 berbanding enjin Sangkut RM8,000 dan ini menyukarkan nelayan membelinya kerana pendapatan seharian tidak tinggi.

“Masalah ini menyebabkan mereka membuat permohonan tetapi gagal mendapatkannya kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan, malah ada antaranya turun ke laut tanpa lesen Lesen Vesel dan peralatan menangkap ikan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, tanpa lesen berkenaan, mereka tidak mendapat keistimewaan yang diberikan kerajaan pusat iaitu E-Diesel yang berfungsi sebagai subsidi minyak untuk bot-bot atau pukat nelayan beroperasi setiap hari.

“Selain kad E-Diesel, kerajaan juga memberi insentif RM200 sebulan kepada nelayan yang mempunyai lesen sementara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membayar sepuluh sen setiap kilogram hasil tangkapan laut yang dibawa ke pelantar yang telah diwartakan oleh LKIM,” katanya.

Beliau berkata, masalah kewangan untuk membeli enjin Sangkut bukan sahaja menyebabkan mereka tidak memenuhi syarat tetapi turut tidak mendapat keistimewaan yang diberikan kerajaan.

“Kepada pihak yang bertanggungjawab diharapkan mengkaji semula peraturan serta mengambil kira semua aspek terutamanya masalah kewangan nelayan.

“Mereka juga perlu meneliti keadaan geografi muka bumi kerana dasar lautan yang berselut di sesetengah tempat menyukarkan nelayan menggunakan mesin jenis Sangkut,” katanya.

0 Responses to Ambil berat masalah kami: Nelayan