Demontrasi ladang babi di dataran Sg. Petani


SUNGAI PETANI - Kira-kira 100 penduduk sekitar daerah ini dan Baling berkumpul bagi membantah isu ternakan ladang babi di negeri ini.

Mereka berhimpun secara aman yang turut disertai Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Petani dan Baling serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Melayu sekitar daerah Kuala Muda.

Perhimpunan di Dataran Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) itu antara lain meminta kerajaan Kedah melupakan hasrat membuka ladang babi itu di mana- mana tempat di negeri ini kerana ia tidak sesuai diternak dalam lingkungan masyarakat yang rata- ratanya beragama Islam.

Antara NGO yang turut serta ialah Persatuan Belia 4B Negeri Kedah, Yayasan Sungai Petani dan Kelab Rakan Muda Sungai Petani.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Khairul Azhar Abdullah yang juga jurucakap dalam perhimpunan itu turut membidas tindakan Pas yang beria mahu mewujudkan projek ladang babi di Kedah dan ia jelas tidak menghormati rakyat khususnya umat Islam.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya mengambil kira sensitiviti masyarakat terutama orang Melayu sebelum membuat sebarang kelulusan mengenainya.

"Walaupun kerajaan negeri semalam mengumumkan ladang babi moden secara berpusat tak akan dibuka di Bukit Selambau, namun majoriti orang Melayu tetap tolak.

"Tak kira sama ada di Bukit Selambau mahupun tempat lain di Kedah, kita tetap bantah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjelaskan, ladang babi moden secara berpusat tidak akan dibuka di Bukit Selambau selepas tidak mendapat kebenaran Jabatan Veterinar.

Menurut beliau, jabatan berkenaan membuat keputusan itu setelah mengambil kira beberapa aspek teknikal.

Kata Mohd. Khairul, pihaknya tidak mahu Kedah, negeri yang majoriti rakyatnya beragama Islam digelar sebagai antara negeri utama penternakan babi negara.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani, Azhar Mahmud menegaskan, keputusan kerajaan Kedah yang tetap mahu meneruskan projek itu di lokasi lain di negeri ini tetap tidak boleh diterima.

0 Responses to Demontrasi ladang babi di dataran Sg. Petani