Kedah wujud jawatankuasa selesai isu kuota tak dijual


Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhnews@bharian.com.my

ALOR STAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata sebuah jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi merangka mekanisme bersesuaian untuk menyelesaikan masalah unit rumah dan rumah kedai kuota Bumiputera yang tidak dijual.

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis itu akan berusaha mencari mekanisme penjualan bersesuaian yang dapat mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Ketika ini ada antara pembeli Bumiputera tidak berminat untuk membeli hartanah kuota Bumiputera kerana faktor pelaburan, memandangkan unit rumah kuota Melayu yang dibeli dengan potongan harga lima peratus lebih murah berbanding harga pasaran lot bebas.

"Selain itu, orang Melayu juga didapati tidak berminat untuk membeli hartanah seperti rumah kedai sehingga menyebabkan lot rumah kedai kuota Bumiputera yang dibina pemaju tidak terjual. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada pemaju.

"Jawatankuasa itu akan merangka mekanisme bersesuaian supaya tiada pihak yang rugi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Rehda di sini, kelmarin.

Rehda Kedah/Perlis diwakili Pengerusinya, Ricque Liew Yin Chew.

0 Responses to Kedah wujud jawatankuasa selesai isu kuota tak dijual