Menang biar bergaya - Najib

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Barisan Nasional (BN) menang dengan bergaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang dan bukannya menang dengan keputusan yang dibaratkan sebagai 'sipi - sipi' sahaja.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN berharap setiap jentera parti di seluruh negara dapat bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

''Tiang seri kepada kejayaan negara adalah kekuatan dan kestabilan politik, kalau orang lihat kita lemah tak ada orang nak hormat kita.

''Kalau Presiden UMNO dan Pengerusi BN tak ada sokongan rakyat, orang tak akan hormat tapi sebaliknya jika kita ada kekuatan, insya-Allah imej negara Malaysia kita akan lebih menyerlah di persada antarabangsa,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ampang dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman.

Dalam ucapannya itu juga, Najib mengingatkan para perwakilan tentang sejarah BN yang mampu bangkit kembali pada pilihan raya umum 1974 selepas mengalami kekalahan teruk pada penggal sebelumnya.

Katanya, kebangkitan itu kerana perubahan yang dilakukan baik dari segi politik, sosial mahu pun ekonomi hingga akhirnya membawa kemenangan besar kepada BN pada tahun 1974.

Justeru menurutnya, apabila berlaku tsunami politik pada pilihan raya lalu maka mahu atau tidak, perubahan perlu dilakukan dan inilah yang diusahakannya di peringkat nasional dengan memperkenalkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

''Kita memang boleh membuat perubahan dengan ada dua perspektif dalam masa pilihan raya iaitu satu perspektif nasional dan satu lagi perspektif tempatan.

''Jika kedua-dua ini menjurus kepada positif maka kita menang besar tetapi kalau kedua-dua ini menjurus sebaliknya, kita akan hadapi tsunami politik,'' katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang bukan lagi melihat kepada hierarki kepimpinan di peringkat bahagian sebaliknya mereka yang terbaik sahaja yang akan dipilih.

Katanya, oleh itu jawatan Ketua Bahagian belum menjamin yang seseorang itu akan menjadi calon BN kerana yang akan dipilih adalah mereka yang diterima dengan baik oleh rakyat.

''Pertimbangan kita adalah pada rakyat sebab itu bab kedua ialah Rakyat Didahulukan. Jangan kita bagi kepada orang pandai melobi, ikut ke hulu ke hilir mana kita pergi.

''Perdana Menteri balik pukul 2 pagi pun dia tunggu terpacak di lapangan terbang. Orang macam ini, selalu kita tengok muka dia tapi jangan kita terpengaruh.

''Mungkin dia bukan terbaik, mungkin ada orang lagi yang tak melobi macam dia, lebih baik daripada dia jadi calon, silap bagi saya kalau pilih orang tu, saya kena pilih orang yang paling diterima di peringkat kawasan yang berkenaan,'' jelasnya.

0 Responses to Menang biar bergaya - Najib