Kedah catat 32 kes positif H1N1

ALOR SETAR 9 Ogos - Sebanyak 32 kes positif influenza A (H1N1) dikesan di negeri ini setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan negeri, Dr. Ismail Salleh.

Beliau berkata, semua yang dikesan positif wabak berkenaan itu merupakan warga tempatan.

Katanya, daripada jumlah itu, dua mangsa masing-masing berumur 25 tahun dan 56 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

"Mangsa yang berusia 25 tahun merupakan seorang ibu mengandung dan dia dimasukkan ke hospital pada 6 Ogos lalu. Keadaannya dilaporkan stabil.

"Seorang lagi mangsa pula dimasukkan ke HSB pada 5 Ogos. Setakat ini tiada kematian yang dicatatkan akibat H1N1 di negeri ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-12 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (BN-Bakar Bata) yang mahu mengetahui mengenai perkembangan wabak H1N1 di negeri ini.

Ismail juga memberitahu, sehingga semalam, 42 pusat pengajian termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi di negeri ini telah dikesan berlaku penularan kluster wabak berkenaan.

Katanya, jumlah orang ramai yang datang ke hospital kerajaan untuk membuat pemeriksaan atau mendapatkan rawatan juga meningkat hampir sekali ganda dipercayai kerana panik dengan penularannya.

Tambah beliau, sebagai langkah penerangan khususnya bagi mengelakkan orang ramai panik, kerajaan negeri sedang mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan kerjasama dengan Kedah.fm untuk hebahan maklumat.

"Kita juga mengadakan solat hajat selain menyediakan teks khutbah solat Jumaat bagi memberi kesedaran kepada orang ramai antaranya mengenai langkah pencegahan wabak ini," katanya.

0 Responses to Kedah catat 32 kes positif H1N1