Juadah puasa serendah RM2

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Set juadah berbuka puasa serendah RM2, jamuan berselerak pula hanya RM5 dan moreh RM1.

Kesemuanya itu boleh dinikmati di Restoran Rakyat 1Malaysia yang terletak di Medan Tunku sempena Ramadan.

Restoran yang dibuka awal bulan lalu itu mula menjadi sebutan warga kota kerana menawarkan set menu istimewanya iaitu RM1 untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai.

Timbalan Pengerusi Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah), Hassan Gondol berkata, orang ramai mempunyai pilihan untuk membeli juadah, berbuka dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih dengan selesa di Medan Tuanku.

"Semua kemudahan yang disediakan adalah untuk kebajikan kakitangan dan orang ramai yang sering terlewat berbuka dan menunaikan solat Maghrib kerana kesesakan trafik di bulan Ramadan.

"Dengan adanya bazar jualan, restoran dengan bufet berbuka dan surau untuk semua, kini lebih berbaloi singgah ke Medan Tuanku kerana segala kemudahan muslimin dan muslimah telah tersedia," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat lawatan ke restoran tersebut di sini hari ini.

Menurut Hassan, selain harga istimewa yang ditawarkan, restoran tersebut juga dalam perancangan memperkenalkan menu istimewa iaitu ikan patin masak tempoyak selepas Ramadan.

"Restoran ini beroperasi mulai pukul 7 malam hingga 3 pagi pada bulan Ramadan menyediakan hampir 20 jenis masakan Melayu.

"Selain itu, operasi restoran ini begitu lancar dengan bantuan 18 kakitangan yang sentiasa mengutamakan pelanggan sejajar dengan slogan 1Malaysia," katanya.

0 Responses to Juadah puasa serendah RM2