Amalkan disiplin Ramadan


Najib Tun Razak berucap kepada jemaah selepas menunaikan solat Tarawih di Masjid Kampung Sungai Miang, Pekan, Pahang, semalam. - MINGGUAN/Mahathir Ali

--------------------------------------------------------------------------------
PEKAN 29 Ogos - Umat Islam akan lebih berjaya pada masa hadapan jika disiplin bulan Ramadan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, bulan puasa mendidik umat Islam berdisiplin, bukan sahaja daripada segi menahan lapar dan dahaga, bahkan dalam aspek perlakuan harian.

Beliau berkata, Ramadan merupakan bulan penyucian jiwa untuk menjauhkan umat Islam daripada sifat bongkak, sombong, memfitnah dan mengumpat.

"Amalan-amalan baik ini jika dilakukan di luar bulan Ramadan, umat Islam akan berjaya dan menjadi lebih cemerlang,'' katanya ketika berucap selepas solat Maghrib berjemaah bersama penduduk di Masjid Kampung Merchong dekat sini malam ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir miskin dan berbuka puasa bersama penduduk di pekarangan masjid tersebut.

Menurut Najib, umat Islam di negara ini perlu bersyukur kerana dapat menunaikan puasa dalam suasana aman tanpa sebarang gangguan.

"Kita boleh laksanakan sebanyak mana ibadat, cuma kesanggupan sahaja sama ada kita mahu melakukannya atau sebaliknya,'' jelas beliau.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis Ihya Ramadan di Masjid Sungai Miang di sini selepas itu, Najib mengajak umat Islam menjadikan ibadat puasa sebagai kaedah terbaik untuk membentuk keperibadian.

Jelas beliau, kualiti keperibadian seseorang Islam hanya boleh dibentuk jika individu tersebut memiliki sifat tawaduk, berhemah, pemurah, sederhana, berilmu dan cintakan perpaduan.

"Jika kualiti diri kukuh dan mantap, maka aspek luarannya akan bersifat mulia sekali gus menjadikan umat Islam disegani dan dihormati,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, kerajaan sedia meluluskan peruntukan pembinaan masjid baru di Kampung Sungai Miang.

"Bagaimanapun, saya perlu mengenal-pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan masjid baru tersebut,'' tambahnya.

0 Responses to Amalkan disiplin Ramadan