Saranan baik untuk perpaduan

Kerjasama Umno-Pas diharap perkukuh keharmonian rakyat semua kaumKUALA LUMPUR: Rakyat pelbagai kaum berharap saranan kerjasama Umno-Pas di Kelantan akan menjadi pembuka tirai kepada politik perpaduan demi kemakmuran negara dan meneruskan agenda pembangunan serta memajukan rakyat. Mereka berpendapat walaupun berbeza ideologi politik, Umno dan Pas yang menjadi tunjang utama politik Melayu serta tonggak kestabilan rakyat pelbagai kaum boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Pekerja swasta, Fadzreen Ramli, 22, berkata kesediaan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat untuk melupakan sengketa juga selaras dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memperjuangkan konsep perpaduan. "Ia keputusan bijak yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pentadbiran negara lebih mantap," katanya. Pandangan itu dikongsi oleh Safrah Zulkafli, pelajar berusia 20 tahun yang berpendapat ia langkah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat bagi membolehkan negara ditadbir secara lebih adil dan saksama.
Beliau berkata, saranan melupakan sengketa antara Pas dan Barisan Nasional (BN) perlu mendapat sokongan kedua-dua penyokong parti bagi mewujudkan suasana politik yang lebih positif di negara ini. Pesara, Tengku Shahzan Tengku Sham, 70, yang menyokong saranan itu memuji kesediaan Mursyidul Am Pas mengetepikan sengketa demi kepentingan rakyat. "Ini adalah petanda seluruh negara dapat dimajukan tanpa mengira ideologi pemimpin dan parti masing-masing," katanya. Seorang lagi pekerja swasta, Anuar Shah Mohd Nor, 23, berharap kerjasama bukan hanya untuk jangka masa terdekat, malah dikekalkan demi kemakmuran negara.
Katanya, kedua-dua parti yang menjadi tunjang kaum Melayu dan Bumiputera perlu menjalin kerjasama bukan saja untuk kepentingan kaum yang diwakili, malah bekerjasama untuk memastikan semua kaum terbela. Pengusaha bengkel, Loo Lean Seng, 54, pula berkata, keputusan Nik Aziz melupakan sengketa akan membantu jalinan kerjasama yang lebih berkesan selaras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. "Ini juga dapat mengelakkan perpecahan yang berlaku antara kaum kerana fahaman politik berbeza," katanya. Pekerja swasta, K Ganesh, 25, berkata usaha itu sangat positif dan boleh membawa kepada pentadbiran yang berkesan untuk negara kerana kedua-dua pihak mempunyai pengalaman untuk mentadbir negara tetapi mereka perlu mengetepikan ideologi dan bekerja untuk rakyat.

0 Responses to Saranan baik untuk perpaduan