'Belia kena faham misi negara'

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu berusaha untuk membangunkan minda belia negara ini menerusi cetusan fikiran dan perkembangan idea berterusan bagi membolehkan mereka berbangga menjadi warga Malaysia yang bersatu padu. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pelbagai usaha perlu dilakukan terutama dalam aspek pendidikan dan melihat semula sejarah serta warisan bangsa negara ini bagi merealisasikan matlamat itu. "Pendekatan utama melalui perpaduan negara berdasarkan kepada penerimaan dan perbezaan perlu dilihat sebagai aset, bukan liabiliti.
"Bagi menerima perbezaan dalam masyarakat, kita perlu mendidik anak-anak kepentingan sejarah dan warisan daripada bangsa kita yang boleh kita banggakan ini," katanya pada Majlis Perasmian Program Anak-Anak Pusat Sri Murugan: Benih Untuk Masa Depan, di Universiti Malaysia (UM), semalam. Hadir sama, Pengarah Pusat Sri Murugan, Datuk Dr M Thambirajah. Rosmah berkata, pendidikan pada semua peringkat perlu dilakukan secara menyeluruh dan pada masa sama jujur memahami proses sedia ada serta sikap saling menghormati dalam masyarakat sejak kemerdekaan. "Pelbagai idea daripada pemimpin negara perlu disampaikan dengan jelas kepada anak kita.
"Di Amerika misalnya, 230 tahun selepas kemerdekaannya, banyak pameran, bicara, forum, pertunjukan, siri televisyen dan laman web dilakukan untuk terus mengingatkan anak-anak mengenai kepercayaan dan matlamat negara," katanya.

0 Responses to 'Belia kena faham misi negara'