DNA lelaki tidak dikenali pada pakaian Beng Hock

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini diberitahu tentang kewujudan Asid Deoksiribonukleik (DNA) lelaki yang tidak diketahui pada bahagian luar belakang kot dan tali pinggang yang dipakai mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas 10 jam disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Perkara itu dinyatakan peguam Tan Hock Chuan yang dilantik 27 Julai lalu bagi mewakili kerajaan Malaysia dengan kebenaran Pendakwa Raya untuk membantu mahkamah mengendalikan prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang didengar di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas semalam. “Laporan DNA yang diterima daripada sampel yang diambil daripada luar belakang kot mendiang menunjukkan keputusan dua individu lelaki. Satu daripadanya sepadan dengan spesimen darah mendiang dan satu lagi tidak diketahui. “Sampel daripada tali pinggang mendiang menjumpai DNA tiga lelaki. Satu daripadanya sepadan dengan mendiang manakala dua lagi tidak diketahui, tetapi salah satu DNA itu sepadan dengan DNA yang dijumpai di bahagian kot,” katanya. : Penemuan DNA itu juga, menurut Hock Chuan menyebabkan sampel DNA 102 orang diambil bagi tujuan mencari pemilik DNA itu, dan keputusan ujian untuk 90 orang telah diperoleh sementara Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal memaklumkan dua orang enggan memberikan sampel bagi ujian DNA. Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga mendiang pula memohon Hock Chuan menjawab sekiranya hasil ujian 90 orang itu sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui itu. “Saya hanya mahu menjelaskan senario itu dan sama ada ia sepadan atau tidak, lebih baik dijelaskan ahli kimia,” jawab Hock Chuan. Prosiding semalam juga menyaksikan Hock Chuan membekalkan dokumen-dokumen berkaitan inkues, seperti laporan DNA, dua salinan laporan bedah siasat, laporan toksin, laporan forensik, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada Gobind. Bagaimanapun , Gobind gagal dalam permohonannya untuk memperoleh kenyataan saksi, termasuk pegawai yang disoal siasat berikutan perkara itu dibantah Hock Chuan. Azmil Muntapha memutuskan akan membuat keputusan berhubung perkara itu pada prosiding akan datang, iaitu sebelum saksi dipanggil. Dokumen sama juga dibekalkan kepada peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Negeri Selangor dan wakil Majlis Peguam yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik yang bertindak sebagai peguam pemerhati yang berkepen:tingan. : Status peguam pemerhati yang berkepentingan itu diperoleh selepas Azmil Muntapha membenarkan permohonan Gobind, Malik dan Hisyam Teh Poh Teik untuk dibenarkan mengambil bahagian dalam prosiding inkues yang tidak dibantah Hock Chuan. Sementara itu, Azmil Muntapha menangguhkan prosiding inkues kepada 5 Ogos depan bagi membolehkan pihak-pihak terlibat meneliti dokumen. “Bukan niat saya untuk melengah-lengahkan prosiding inkues, tetapi masa diperlukan untuk memastikan inkues ini dikendalikan dengan tertib dan diberi masa untuk membuat persediaan. “Inkues ini menjadi tumpuan negara dan semua orang mengikuti dan menjangkakan yang terbaik. Kita tidak boleh menerima panggilan telefon yang meminta datang ke inkues keesokan hari. Ini bukan jenaka,” katanya.

0 Responses to DNA lelaki tidak dikenali pada pakaian Beng Hock