Utamakan keselamatan tambahan motosikal


ALOR STAR Polis menasihatkan pemilik motosikal supaya lebih menitikberatkan ciri-ciri keselamatan tambahan seperti menggunakan kunci mangga sebagai usaha untuk mencegah jenayah kecurian kenderaan itu yang semakin berleluasa di bandar raya ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, masih ramai pemilik motosikal memandang remeh aspek keselamatan kenderaan masing-masing kerana tahap kesedaran yang rendah.

"Langkah waspada seumpama itu meskipun dilihat mudah, namun ia mampu mengurangkan kadar jenayah tersebut kerana kebanyakan kes yang berlaku adalah disebabkan kecuaian pemilik motosikal sendiri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar di sini semalam.

Fiesal berkata, jenayah curi motosikal di bandar raya ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dan ia menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan indeks jenayah di daerah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, IPD Kota Setar melancarkan Ops Cegah Jenayah dengan tumpuan diberikan kepada jenayah kecurian motosikal dan kenderaan bermula semalam.

Menurutnya, operasi bersepadu yang akan diteruskan dari semasa ke semasa itu sebagai antara usaha untuk mengurangkan kadar jenayah berkenaan selain meningkatkan kesedaran masyarakat untuk saling bekerjasama menanganinya.

"Ia melibatkan seramai 50 anggota daripada semua cawangan dengan tumpuan operasi diberikan kepada kawasan yang kerap berlaku jenayah," katanya. - Utusan

0 Responses to Utamakan keselamatan tambahan motosikal