Tindakan keluar dewan tak bertanggungjawab: Najib


KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan hari ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau berkata pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat. "Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu.
"Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. Ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan yang bermula jam 4.30 petang ini, pembangkang bertindak keluar Dewan selepas tidak puas hati kerana mendakwa Najib tidak memberikan mereka peluang untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.
"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan. Tapi nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga. "Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan. Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya. Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras sama." - Bernama

0 Responses to Tindakan keluar dewan tak bertanggungjawab: Najib