Bimbang premis mesin kuda


oleh SinarHarian


KUALA KEDAH - Penduduk di pekan Kuala Kedah bimbang kewujudan sejumlah premis yang menyediakan mesin permainan berunsur judi atau lebih dikenali sebagai ‘mesin kuda’ yang wujud seperti ‘cendawan selepas hujan’ dan dapat meningkatkan masalah sosial setempat.

Ahli Jawatankuasa Kema-juan dan keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Cawangan Tok Pasai, Bakar Mat berkata, pada peringkat permulaan cuma terdapat sebuah premis mesin kuda di pekan ini dan kini meningkat kepada empat.

“Kewujudan premis-premis ini bukan sahaja memberi kesan sosial kepada golongan dewasa, malahan ia turut menarik golongan remaja termasuk pelajar untuk berjudi selain bebas merokok dan mungkin boleh terbabit dengan penagihan dadah,” kata Bakar.

Ketika tinjauan, didapati golongan pelajar yang berpakaian seragam juga bebas memasuki premis-premis berkenaan.

Salah seorang penduduk, Rahimah Saad, 32, berkata remaja semakin ramai yang ketagih untuk mengunjungi premis-premis berkenaan.

Menurutnya seorang anak jirannya sudah ketagih bermain dengan mesin kuda itu sehingga sanggup mencuri wang ibu bapanya.

“Diharapkan pihak yang bertanggungjawab membuat tindakan sewajarnya bagi membenteras aktiviti tidak sihat itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kewujudan premis berkenaan dan tidak akan bertolak ansur sekiranya benar ia beroperasi secara haram dan menyediakan perkhidmatan mesin kuda seperti yang didakwa oleh orang ramai di situ.

“Orang ramai tidak perlu khuatir kerana pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung permasalahan itu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya secepat mungkin bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kebanyakan premis menyediakan mesin permainan mempunyai lesen yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS).

“Tetapi sekiranya ia mengandungi beberapa kesalahan seperti menyalahi permit permit lesen yang diluluskan dengan meletakkan mesin permainan tidak dibenarkan serta terdapat unsur-unsur perjudian kami akan bertindak,” katanya ketika dihubungi.

0 Responses to Bimbang premis mesin kuda