Tangguh beli Eurocopter - PM
29 October 2008
KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu.
"Pada waktu ini keputusan yang diambil ialah Eurocopter tidak akan dibeli sebab kita memerlukan peruntukan untuk membiayai projek-projek lain sementara (ini) tindakan kita menghadapi satu situasi kedudukan ekonomi yang bersabit dengan krisis kewangan (maka) ia ditangguh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini.
Abdullah berkata, kerajaan perlu menumpukan perhatian dan menyalurkan peruntukan terhadap projek-projek yang lebih penting dan memberi faedah kepada rakyat.
"Ini bukan bermakna kita tidak beli langsung, bila kedudukan kewangan membolehkan kita beli, kita akan beli," katanya.
Abdullah berkata, kerajaan akan membeli helikopter itu lebih awal jika keadaan ekonomi kembali pulih.
Beliau menambah, proses pembelian pesawat itu memgambil masa selama tiga tahun.
"Keputusan dibuat (untuk mendapatkan Eurocopter) pada 2011 dan kalau boleh kita nak beli lebih awal mungkin 2009 kalau kita ada wang. Tiga tahun kita akan dapat helikopter ini kerana ia bukannya seperti membeli kereta, hari ini beli esok boleh dapat," katanya. - Bernama
0 Responses to Tangguh beli Eurocopter - PM
Post a Comment