Banjir musnah 3,400 hektar anak padi
28 October 2008
ALOR STAR 27 Okt. - Banjir yang melanda Kedah sejak seminggu lalu menenggelamkan kira-kira 5,800 hektar kawasan Wilayah II Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Yan dan Pendang.
Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Ahmad Radin berkata, daripada jumlah itu dianggarkan sebanyak 3,400 hektar anak padi di kawasan tersebut yang baru membesar rosak.
Menurutnya, kerosakan anak padi berkenaan melibatkan sembilan PPK termasuk Kodiang, Jerlun, Sanglang, Kubang Sepat, Jitra, Kepala Batas dan Tunjang.
''Bancian bagi memastikan bilangan sebenar pesawah yang terjejas dan jumlah kerugian yang mereka tanggung akibat bencana tersebut sedang dibuat oleh pegawai-pegawai MADA.
''Oleh itu, pesawah yang masih belum menyerahkan salinan laporan polis mengenai kerosakan padi yang mereka alami kepada pihak MADA, diminta segera berbuat demikian untuk tindakan lanjut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Banjir kali ketiga yang melanda Kedah dalam tempoh kurang daripada 50 hari sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 2,000 penduduk dari tujuh daerah terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Sehingga petang semalam, seramai 1,263 mangsa banjir daripada 323 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan sementara melibatkan daerah Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Bandar Baharu.
Bagaimanapun keadaan banjir di negeri ini dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat ekoran keadaan cuaca yang semakin baik.
Dalam pada itu, Ahmad Radin berkata, jumlah kerosakan anak padi di tiga lagi wilayah MADA sedang dikemas kini dan pihaknya akan memperincikan perkara ini selepas kesemua data dikumpul.
Menurutnya, laporan lengkap daripada bancian yang melibatkan kesemua empat wilayah MADA itu akan diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani secepat mungkin untuk menentukan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada pesawah terlibat.
Justeru, beliau berharap bantuan akan segera disalurkan kepada semua pesawah yang terjejas supaya mereka dapat mengerjakan kembali sawah masing-masing kerana ia masih di awal musim penanaman padi.
-adei la...kesian la kat pak tani-pak tani nie...tolong la percepatkan bantuan kat depa...karang ado la plak yg terpaksa pinjam along kalu ado kerajaan tak mo tolong atau pun lambat tolong...
0 Responses to Banjir musnah 3,400 hektar anak padi
Post a Comment