Berita baik untuk pencari kerja

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Berita baik untuk pekerja yang diberhentikan atau bakal berhadapan dengan tindakan sedemikian.
Kerajaan akan mengadakan Hari Pemadanan Pekerjaan khusus kepada golongan berkenaan setiap dua minggu serentak di 15 pusat di seluruh negara.
Inisiatif anjuran Kementerian Sumber Manusia adalah langkah terbaru kerajaan menangani masalah pemberhentian pekerja yang semakin rancak kebelakangan ini.
Pada hari tersebut sesi temuduga antara pekerja dan majikan akan dijalankan.
Istimewanya program itu ialah proses untuk mendapatkan pekerjaan lebih mudah dan cepat.
Majikan akan memberi keputusan sama ada sesuatu permohonan itu berjaya atau sebaliknya pada hari yang sama.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, langkah proaktif itu diambil bagi menangani kes pemberhentian pekerja.
Katanya, ini termasuk kira-kira 45,000 pekerja yang dijangka diberhentikan berikutan krisis ekonomi global.
‘‘Program itu akan dimulakan tidak lama lagi. Kementerian bekerjasama dengan pihak majikan yang menemuduga sendiri pekerja yang diperlukan dalam bidang-bidang berkaitan.
‘‘Hari Pemadanan Pekerjaan itu akan diadakan berterusan sehingga kita berpuas hati dengan jumlah yang mendapat pekerjaan berbanding yang telah diberhentikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

0 Responses to Berita baik untuk pencari kerja