Hentikan isu perkauman

PUTRAJAYA 28 Jan. - Semua pihak diingatkan supaya menghentikan perbuatan menjadikan kes-kes jenayah sebagai isu perkauman sebaliknya memberi peluang pihak berkuasa melengkapkan proses siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan tidak pernah berkompromi dengan pelanggaran undang-undang termasuk salah laku pegawai polis.
"Kes jenayah tidak boleh dilihat dari sudut kaum, kalau nak tengok kes jenayah melibatkan kematian, kaum lain pun banyak tetapi apabila dikira emosi, ia boleh membangkitkan perasaan, ini berbahaya.
"Saya berasa cuak kalau semua pihak mula bermain dengan sentimen perkauman, ia akan bertukar kepada masalah lain... sebab itu dalam kes jenayah kita tak kira ia dilakukan oleh mana-mana kaum, biarlah ia disiasat mengikut prosedur jenayah," katanya.
Beliau bercakap pada pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Hasnan Hassan.
Syed Hamid mengulas kematian suspek kes samun kereta mewah, A. Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari lalu di Balai Polis Taipan di Subang Jaya, Selangor.
Setakat ini, 11 anggota polis sedang disiasat atas dakwaan mencederakan tahanan berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, bedah siasat mendapati kematian Kugan akibat paru-paru berair tetapi keluarga mendiang mendesak diadakan bedah siasat kedua kerana mendakwa kematiannya akibat kecederaan.
Peguam Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang kematian Kugan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Mengulas lanjut kenyataannya sebelum ini bahawa dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah mungkin dikenakan tindakan undang-undang jika didapati terlibat dalam kejadian menyerbu dan menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada 20 Januari lalu, Syed Hamid menegaskan:
"Bilik mayat adalah kawasan larangan dan jika diperlukan waris untuk masuk, ia adalah untuk melakukan pengecaman bagi tujuan bedah siasat dengan melihat wajah dan tidak boleh melihat keseluruhan badan.
"Kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan hanya dengan melihat sesuatu objek, biarlah ia disiasat untuk mengetahui apakah sebabnya," kata beliau.
Malah, tegas Syed Hamid, sekiranya beliau sendiri bertindak mengganggu bahan bukti, dirinya juga boleh didakwa di mahkamah.
Katanya, semua pihak boleh mempertahankan keadilan dan hak bagi seseorang tetapi dalam masa yang sama mereka perlu menghormati undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis masih melakukan siasatan ke atas kegiatan kumpulan samun kereta mewah dengan tiga suspek telah berjaya ditahan termasuk mendiang Kugan.
"Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang dipercayai ketua kumpulan masih bebas.
"Mengikut laporan polis terdapat 19 kes samun kereta dan samun orang dengan modus operandinya melanggar belakang kereta, selepas itu mereka gunakan parang," katanya.
Kata Syed Hamid, setakat ini polis sudah mempunyai banyak bukti tetapi belum boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan.

0 Responses to Hentikan isu perkauman