Ahli UMNO kini lebih matang

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Pertandingan bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac ini tidak akan menyebabkan perpecahan kerana ahli-ahli kini lebih matang.
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin ahli-ahli kini bijak memilih pemimpin dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen yang tidak sihat.
"Saya tidak nampak perebutan jawatan dalam peringkat Naib Presiden akan menyebabkan wujudnya kem-kem atau corak perpecahan yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh semalam yang mencadangkan supaya calon-calon Timbalan dan Naib Presiden UMNO berkompromi bagi mengelakkan pertandingan.
Pemilihan pimpinan parti Mac ini menyaksikan tiga calon bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO manakala sembilan lagi calon bersaing bagi tiga kerusi Naib Presiden UMNO.
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berpendapat cadangan itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia sudah lama dipraktikkan dalam pemilihan parti sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon Naib Presiden menyerahkan perkara itu kepada budi bicara pucuk pimpinan parti.
"Bagi saya, adalah mustahil calon-calon yang bertanding berkompromi sesama mereka tetapi pucuk pimpinan boleh tentukan calon mana yang boleh berkompromi," tambahnya.
Di Seremban, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengulas isu yang sama bersetuju kompromi boleh mengelakkan perpecahan dan kempen agresif.
Bagaimanapun, tegas beliau, secara realitinya kompromi tidak mungkin berlaku.
"Ukur baju di badan sendiri. Adakah kita benar-benar layak bertanding, jangan terikut-ikut apa orang kata sebaliknya buat keputusan berdasarkan kemampuan diri sendiri.
"Rasionalnya kalau ada calon rasa diri mereka tak layak, apa salahnya mereka undur dan berikan jawatan itu secara terhormat kepada calon yang lebih layak demi kepentingan parti dan negara," katanya.

0 Responses to Ahli UMNO kini lebih matang