Sembilan beranak diami rumah usang


LOTFI Amin Majid (kiri) bersama isteri dan anak-anak merenung keadaan rumah mereka yang usang di Kampung Lubuk Kiab, Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 30 Nov. - Nasib sembilan beranak yang terpaksa hidup dalam keadaan daif dan hanya mampu berteduh di sebuah rumah usang di Kampung Lubuk Kiab, Siam Kiri, dekat sini sejak 21 tahun lalu, amat menyedihkan.

Lotfi Amin Majid, 41, bersama isterinya, Kalsom Rejab, 41, tidak mampu untuk membina rumah yang lebih sempurna kerana pendapatan mereka sekeluarga hanyalah sekitar RM450 sebulan.

Menurut Lotfi Amin, wang gajinya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit hanya cukup untuk makan dan keperluan seharian mereka.

"Oleh kerana gaji sebagai buruh tidak seberapa, saya mengambil keputusan berhenti dan kini mendapat kerja baru sebagai pengawal keselamatan di kawasan perumahan di Sungai Petani.

"Biarpun menyedari gaji pengawal keselamatan tidaklah sebesar mana, namun saya bertekad untuk bekerja keras bagi membantu keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Lotfi Amin mendakwa, mereka tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana jabatan berkenaan memandangkan tidak tahu prosedur untuk memohonnya.

Katanya, dengan lima anak yang masih bersekolah berusia antara 10 hingga 17 tahun, dia tidak mungkin mampu membina rumah yang lebih selesa dan mereka terpaksa akur dengan rumah yang ada sekarang.

"Rumah yang diduduki sekarang asalnya adalah milik bapa saudara saya. Apabila berpindah ke tempat lain, dia membenarkan kami sekeluarga tinggal di sini," katanya.

Tinjauan mendapati keadaan rumah mereka amat daif dengan bumbung yang berlubang dan dinding yang tidak selamat.

Rumah mereka hanya ada dua bilik dan tiada tandas yang sempurna, cuma mempunyai ruang dapur yang agak sempit.

Sementara itu, Kalsom berkata, anak sulung mereka berusia 18 tahun kini baru menghabiskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala seorang lagi yang bongsu berusia 4 tahun, belum bersekolah.

"Anak-anak yang lain bersekolah menerusi sistem pondok moden. Baru-baru ini, salah seorang anak saya iaitu Azimah, 12, mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bagi menambah pendapatan, Kalsom berusaha membantu suaminya dengan mengutip besi-besi buruk sekitar kampung untuk dijual.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga boleh menghubungi Lotfi Amin di talian 019-4219553 bagi menghulurkan bantuan.


0 Responses to Sembilan beranak diami rumah usang