Nenek pekak ditahan ketika masak air ketum

JITRA: Seorang nenek berusia 71 tahun yang mengalami masalah pendengaran ditahan polis ketika memasak air ketum dalam serbuan di rumahnya di Kampung Pida 2, Kodiang dekat sini, semalam.

Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu diketuai Inspektor Budi Arman menyerbu rumah warga emas itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Wanita terbabit yang ketika itu sedang memasak air daun ketum dipercayai tidak menyedari kedatangan polis ke rumahnya menyebabkan dia meneruskan "tugasnya".

Suami wanita itu yang berusia dalam lingkungan 70-an ada bersamanya tetapi tidak ditahan kerana buta.

Wanita itu dipercayai menjalankan perniagaan menghasilkan daun ketum bersama anak lelakinya yang juga seorang pesawah untuk menambah pendapatan keluarga.

Bagaimanapun, anak pasangan itu yang terkejut melihat kehadiran polis dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata hasil siasatan, polis menemui sebuah periuk aluminium berisi kira-kira 10 liter air ketum yang sedang dimasak, satu baldi plastik yang mengandungi lima liter air ketum dan lapan bungkus air daun ketum.

Katanya, pihaknya merampas kira-kira lima kilogram daun ketum kering di luar rumah berkenaan.

Sawaludin berkata, wanita itu dikatakan membantu anak lelakinya yang berusia 30-an berniaga hasil daun ketum sejak empat bulan lalu dan memperoleh bekalan daun ketum mentah dari kawasan sekitar.

Selain menjual air daun ketum, mereka juga turut berniaga serbuk daun itu.

Katanya, nenek itu ditahan untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis beberapa jam kemudian.

Difahamkan, sebungkus air daun ketum dijual pada harga RM2 hingga RM3 bergantung kepada saiz dan permintaan pembeli.

0 Responses to Nenek pekak ditahan ketika masak air ketum