TAMAN JUBLI EMAS JADI MERCU TANDA

10 August 2008

TAMAN JUBLI EMAS JADI MERCU TANDA

Taman yang luasnya kira-kira 30 ekar terletaknya di Jalan Suka Menanti merupakan Taman Awam yang terbesar di Negeri Kedah Darul Aman. Taman ini direka khas bagi membolehkan warga Bandar Raya Alor Star menikmati aktiviti riadah dalam suasana yang nyaman, tenang dan segar.


Oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR STAR, 5 Ogos 2008 - Projek pembinaan Taman Jubli Emas di Jalan Suka Menanti, di sini yang dimulakan pada tahun 2007 dan telah disiapkan pada Julai 2008 dirasmikan dengan penuh warna-warni oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Taman Jubli Emas diilhamkan oleh Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Taman Jubli Emas yang mencadangkan agar dibina sebuah Mercu Tanda Jubli Emas di Bandaraya Alor Star bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 15 Julai 2008.

Taman Jubli Emas mempunyai ciri-ciri yang unik, taman yang luasnya kira-kira 30 ekar yang merupakan Taman Awam yang terbesar di Negeri Kedah Darul Aman. Taman ini direka khas bagi membolehkan warga Bandar Raya Alor Star menikmati aktiviti riadah dalam suasana yang nyaman, tenang dan segar.

Idea reka bentuk taman yang dikelilingi sawah padi ini berasaskan konsep taman terbuka dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Selain itu, taman ini direka sebagai sebuah 'Learning Garden' di mana pengunjung akan dapat mempelajari spesis pokok-pokok yang berasal dari Negeri Kedah Darul Aman.

Untuk keselesaan pengunjung, Taman Jubli Emas dilengkapi dengan kerusi taman, wakaf, taman permainan kanak-kanak, ruang permainan kereta kawalan jauh, tandas, surau dan 3,000 petak tempat meletak kereta.

Tasik yang dibina khas akan menyejukkan kawasan taman selain menjadi kawasan aktiviti berkayak, berkeno atau memancing. Untuk aktiviti bersenam, pengunjung boleh berlari melalui trek dikeliling tasik, di sepanjang sempadan kawasan atau trek merentasi taman.

Taman Jubli Emas menyajikan ruang untuk kepelbagaian aktiviti riadah bagi pembangunan insan yang sejahtera.

Dataran Jubli Emas yang merupakan sebuah dataran di kawasan seluas 20 ekar telah direka khas bagi menempatkan beberapa monumen bagi memperingati Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

Dataran Jubli Emas bakal menjadi pusat tumpuan pelancong kerana keunikan reka bentuknya dan maklumat bersejarah yang dipahat pada dinding mural dan 28 Batu Bersurat Kesultanan Kedah.

Dengan mengambil kira lokasi taman yang terdedah kepada tiupan angin yang kuat, Mercu Tanda Jubli Emas setinggi 20 meter dibina menggunakan bahan 'Solution for Architectural Ornamentation" atau "SAO" dengan kemasan yang ringan dan tahan ancaman cuaca serta disalut dengan tujuh lapisan cat 'wheather shield' untuk ketahanan hujan dan panas matahari.

Mercu tanda ini mengandungi lima batang Keris DiRaja yang melambangkan 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Keris DiRaja, Cokmar DiRaja dan Tengkolok Sultan Kedah Darul Aman menggambarkan kadaulatan Sultan memayungi rakyat Negeri Kedah Darul Aman serta motif lapisan pada dinding Mercu Tanda menggambarkan rakyat Negeri Kedah yang berbilang kaum dan bersatu padu dalam memajukan Negeri Kedah.

Dua puluh lapan Batu Bersurat Kesultanan Kedah, Dinding Mural dan Kolam Pancutan Air Berirama turut dibina sebagai daya tarikan yang unik yang terdapat di Taman Jubli Emas.


0 Responses to TAMAN JUBLI EMAS JADI MERCU TANDA