HIJAU KUNING: KUASA BARU BOLASEPAK TEMPATAN

18 August 2008


Oleh: Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman (JaYb0N)
Ahli Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC)

Bermulanya sebuah cerita baru dalam lipatan sejarah bolasepak Malaysia apabila sebuah pasukan muncul mengukir nama dalam arena bolasepak Asia. Kegemilangannya muncul ketika imej bolasepak Malaysia kian parah di pelusuk carta ranking dunia. Sebenarnya kejayaan gemilang yang dikecapi sekarang bermula daripada tahun 2002. Sejak dari saat itu, pasukan ini tidak menoleh ke belakang lagi. Setiap watak yang terlibat menyemat azam yang tinggi serta berusaha dengan gigih untuk memacu pasukan ini terus kehadapan. Maka tampil lah pasukan bolasepak Kedah Darul Aman sebagai kuasa bolasepak baru tempatan.

Sebelum muncul kejayaan gemilang seperti mana yang dinikmati sekarang, pasukan Kedah hanya mampu berbangga dengan kegemilangan pasukan ini di era lewat '80an dan awal '90an. Namun entah dimana silapnya, pasukan Kedah selepas itu gagal bersaing hebat di Liga Domestik lantas kembali meletakkan pasukan Kedah sebagai pasukan belasahan bukannya sebagai pasukan yang digeruni. Pasukan Hijau Kuning menampakkan kebangkitan semula apabila bermulanya musim 2002 apabila muncul menjadi Juara Liga Perdana 2. Nama-nama seperti Rafdi Rashid, Madzlan Wahid, Fauzi Nan, Shariman Che Omar, Amirul Nizam, Shawal Johadi dan Fakhzan Salleh sebenarnya yang mengembalikan kehebatan pasukan Kedah pada musim itu. Seterusnya bersaing di Liga Perdana Satu, Kedah memberi bersaing dengan cukup sengit dan berjaya menjadi Naib Juara Liga Perdana Satu selepas Perak lebih bernasib baik apabila ditabalkan sebagai juara.

Tahun 2004 adalah musim yang tidak akan dilupakan peminat. Pada tahun inilah dikatakan tahun gelap bagi bolasepak Kedah. Liga Super yang baru diperkenalkan pada musim itu ditamatkan saingannya di tempat yang terakhir. Di saat itu, banyak pihak menganggap inilah penamatnya kebangkitan pasukan Kedah selepas merangkak naik pada musim 2002 dan 2003. Di atas kesedaran dengan situasi semasa, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bertindak bijak dengan menyingkirkan jurulatih asing dari Brazil pada ketika itu iaitu Francisco Ernandi Lima Da Silva atau lebih dikenali dengan nama Mirandinha. Lalu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mewujudkan pengurusan pasukan baru yang diketuai oleh Allahyarham Dato Paduka Ahmad Basri Akil. Maka selepas itu hadirlah bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Khor Sek Leng atau Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih menggantikan Mirandinha. Beliau dibantu oleh dua bekas bintang pasukan Kedah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail. Apa yang jelas, sentuhan Allahyarham Dato Paduka Ahmad Basri Akil amat memberi kesan yang positif kepada bolasepak Kedah. Maka sesuailah gelaran Bapa Bolasepak Kedah diberikan kepadanya.

Walaupun tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia 2004, namun kejayaan melayakkan diri ke peringkat akhir pada musim itu adalah sesuatu yang menakjubkan. Tiada sesiapa pun yang menyangka bahawa Kedah mampu ke perlawanan akhir selepas berada di tangga terakhir di Liga Super pada musim yang sama. Namun hasil keazaman dan usaha yang gigih daripada pengurusan baru ini telah memberi nafas dan semangat baru kepada pemain-pemain untuk menunjukkan watak Sang Kenari yang sebenar. Pengurusan Pasukan yang terbentuk ini terus membuat perancangan bagi meningkat mutu bolasepak negeri Kedah. Tindakan mereka untuk menggabungkan sesi latihan skuad Piala Presiden dan skuad Liga Super amat berkesan. Hasil daripada usaha inilah lahirnya pemain-pemain berbakat sekarang seperti Khyril Muhymeen, Baddrul Bakhtiar, Sabre Abu, Fazliata Taib, Nidzam Mansor, Khairul Helmi, Shakir Ali dan ramai lagi.

Perancangan yang dilakukan adalah perancangan yang cukup teliti. Di saat itu, perancangan yang dilaksanakan itu dijangka akan membuahkan hasilnya pada 2008 sempena dengan sambutan Jubli Emas KDYMM Sultan Kedah. Namun jangkaan itu meleset, hasil yang diperolehi bukannya pada 2008, tetapi pada 2006/2007. Pasukan Kedah berjaya mencatat pasukan pertama merangkul tiga kejuaraan utama di satu musim. Ianya hampir menyamai rekod yang dirangkul oleh pasukan Selangor pada 2005, namun perbezaannya adalah Selangor menjadi Juara Liga Perdana pada musim itu manakala Kedah berjaya menjadi Juara Liga Super.

Pada musim 2007/2008 ini pasukan Kedah dikatakan menggalas cabaran yang lebih berat berbanding musim yang sebelumnya. Masakan tidak, pada musim ini Kedah tampil sebagai juara bertahan tiga piala utama tempatan. Apa yang pasti, mempertahankan kejuaraan adalah sesuatu yang lebih sukar berbanding dengan merampas kejuaraan. Namun cabaran yang dikatakan berat itu hampir terlaksana. Piala Liga Super dan Piala FA sudahpun dipastikan untuk kekal berada di bumi Jelapang Padi. Hanya yang tinggal adalah Piala Malaysia. Pastinya Azraai, Radhi dan Ahmad Sobri akan memastikan bahawa tidak mudah untuk Piala Malaysia ini dirampas oleh pasukan lain.

Di pentas Asia, pasukan Kedah berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala AFC. Saingan peringkat suku akhir dijadualkan pada September ini bertemu pasukan dari Bahrain, Muharraq FC. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pasukan Kedah yang kita cintai ini turut disenaraikan didalam ranking pasukan-pasukan kelab dan negeri seluruh dunia. Kedudukan terkini pasukan Kedah adalah pada kedudukan 111. Seharusnya kejayaan manis dan gemilang ini menjadi kebanggaan kepada setiap rakyat negeri Kedah. Jelas sekali bahawa kejayaan dan kegemilangan yang dikecapi sekarang adalah lebih manis jika ingin dibandingkan dengan apa yang pernah dicatat di musim 80an dan 90an lalu.

Namun dalam kegirangan kita meraikan kejayaan Kedah, pemergian Dato Paduka Ahmad Basri Akil pada Julai lalu amat memberi kesan. Pemergian beliau ke rahmatullah disaat sambutan Jubli Emas KDYMM Sultan Kedah yang amat beliau nantikan dan raikan. Apa yang pasti, ketiadaan insan yang digelar Bapa Bolasepak Kedah ini tiada galang gantinya. Apa yang ditinggalkan oleh beliau adalah kegemilangan bolasepak Kedah di dua era yang berbeza. Dalam kegembiraan dan keghairahan kita meraikan kejayaan pasukan Kedah sekarang, ingatlah bahawa jika tiada insan yang bernama Ahmad Basri Akil ini, mungkin kita tidak akan merasainya. Antara ungkapan beliau yang menjadi pembakar semangat adalah "membujur lalu melintang patah, membelah dinding jika di arah".

Buat seluruh penyokong dan peminat pasukan Kedah Darul Aman. Teruskanlah memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita. Sesungguhnya sokongan yang diberikan oleh kita semua juga turut memberi sumbangan pada kejayaan pasukan Kedah Darul Aman. Kitalah pemain ke-12

--
Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman (Mr.JaY a.k.a JaYb0N)
Ahli Kelab Penyokong Hijau Kuning (www.hijaukuning.com)

0 Responses to HIJAU KUNING: KUASA BARU BOLASEPAK TEMPATAN