BN yakin dapat tumbangkan Anwar
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PULAU PINANG 6 Ogos - Barisan Nasional (BN) yakin mampu menumbangkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berdasarkan kepada persiapan yang dilakukan oleh jentera parti setakat ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, jentera BN juga semakin kuat dengan penubuhan 18 jawatankuasa yang akan ditugaskan menjaga 28 pusat undi di bahagian itu.
''Setiap jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan ditugaskan untuk menjaga dua atau tiga pusat undi di kawasan itu untuk mengukuhkan persiapan kita.
''Selain itu, setiap UMNO bahagian di negeri ini akan turut memainkan peranan menjaga dua atau tiga pusat undi tersebut bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai persiapan BN selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon pada 16 Ogos ini manakala tarikh pengundian jatuh pada 26 Ogos ini.
Selain UMNO negeri, jelas beliau, UMNO di negeri-negeri lain juga turut memberikan kerjasama bagi memantapkan lagi jentera BN menghadapi pilihan raya kecil tersebut.
Dengan adanya persiapan rapi itu, katanya ia memberi keyakinan penuh kepada BN untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut apatah lagi sokongan yang diperoleh daripada rakyat sangat baik.
''Kita percaya sokongan yang diberikan rakyat di kawasan itu kepada BN kini lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke 12 lalu.
''Oleh itu kita mempunyai keyakinan untuk menumbangkan Anwar di kubunya sendiri," tegasnya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim menegaskan, pertarungan sengit pasti akan berlaku kali ini lebih-lebih lagi Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR.
''BN yakin akan menghadapi pertarungan sengit kerana bertarung di kubu kuat PKR oleh itu kita akan melakukan segalanya untuk memberi saingan.
''Kita tidak akan putus asa sebelum bertarung malah kalau kita kalah sekalipun, kita akan pastikan majoriti hanya sedikit," jelasnya.
mesti ada strategi...kalu tak takkan berani kata..agaknya apo ek??
0 Responses to BN yakin dapat tumbangkan Anwar
Post a Comment