Apabila tambang bas ekspres naik 40-60 peratus...

Tambang bas ekspres menjadi antara bahan perbualan terhangat rakyat masa kini. Perkara ini menjadi bualan ramai termasuk mereka yang berkira-kira balik kampung sempena Aidilfitri nanti dengan menaiki bas ekspres, malangnya tambangnya akan dinaikkan sebelum hari mulia itu. Nampaknya, 'melepaslah' sebahagian daripada mereka yang mahu berhari raya di kampung.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, ramai perantau di ibu kota dan bandar
-bandar besar lain membicarakan topik terbabit di kedai-kedai kopi dan pejabat. Pengusaha bas meminta kenaikan sebanyak 100 peratus.
Banyak tu. Disebabk
an saya menaiki bas ekspres setiap hari, gerun saya mendengarnya. Kini saya membayar kira-kira RM20 sehari (tambang pergi balik Melaka-KL). Kalau 100 peratus, ia sudah menjadi RM40 sehari. Wow, takut saya.
Pagi tadi (31 Julai) saya berbual-bual dengan pemandu bas ekspres yang saya naiki. Katanya tidak mungkin berlaku kenaikan 100 peratus. Lagi pun kerajaan sudah menolak cadangan kenaikan sebanyak itu. Tetapi tambang tetap akan naik, katanya. Beliau menganggarkan berlaku kenaikan antara 40 hingga 60 peratus. Ambil angka mudah, 50 peratus.
Kalau tambang bas ekspres naik 50 peratus, bermakna kos saya berulang alik Melaka-KL hampir RM35 sehari, termasuk tambang LRT. Wow, satu jumlah yang agak besar dan membimbangkan. Kalau dikira sebulan, RM35 kali 20 hari bekerja, jumlahnya RM700. Aduh, pening saya memikirkannya.
Pada tahun-tahun sebelum ini, sebulan dua sebelum hari raya, tiket bas ekspres terutama bagi perjalanan jauh misalnya dari KL-KB dan KL-Alor Star sudah dijual awal-awal. Tetapi sekarang senyap saja, mungkin pengusaha menunggu kadar tambang baru. Pengusaha akan menahan penjualan tiket sehingga kerajaan bersetuju menaikkan tambang.
Demikianlah rakyat keb
anyakan semakin menggelupur, terbeban akibat kenaikan harga petrol dan diesel tidak lama dulu. Barangan keperluan dan kos perkhidmatan meningkat pada kadar menakutkan.
Semasa minyak dinaikkan awal Jun lalu, pengusaha bas sekolah juga sibuk mahu menaikkan tambang. Tambang seorang anak saya mahu dinaikkan daripada RM25 kepada RM35. Malah saya sudah membayar kadar baru itu untuk sebulan.
Pengusaha bas sekolah benar-benar mendesak akan kenaikan itu, tetapi akhirnya mereka tidak jadi melaksanakannya. Sebabnya mereka terhutang budi selepas kerajaan memberikan pelbagai subsidi kepada mereka. Jadi tidak naiklah tambang bas sekolah. Syukur, alhamdulillah, tambang bas anak saya kekal pada RM25 sebulan.
Tambang LRT saya tidak tahu akan naik atau tidak. Minta tak naiklah, kekal pada kadar sekarang. Ketika ini saya membayar RM1.20 bagi perjalanan antara Plaza Rakyat dan Titiwangsa. Syukur jika tidak naik, kalau naik, macam mana saya mahu menampung kos kehidupan yang begitu memeritkan ini?
Selain tambang pengangkutan awam, harga barangan pun melambung tinggi. Selain bahan mentah utama seperti beras, ikan, ayam, daging dan sayur, bahan makanan sampingan juga naik mendadak.
Suatu hari saya membeli sebungkus biskut lemak cap Hup Seng untuk dimakan beramai-ramai di pejabat. Bungkusan biskut itu semakin kecil manakala harga tertera di plastik pembungkus RM4.00. Sungguh mengejutkan kerana kalau tidak silap saya harganya dulu cuma RM2.80!
Seorang rakan saya berkata, dia tidak tahan dengan situasi kenaikan harga barangan keperluan sekarang. Mesti melakukan kerja tambahan, katanya. Tetapi kerja apa yang boleh dilakukannya pada zaman sukar ini.
Dia terus berfikir dan berfikir tetapi satu kerja yang boleh menambahkan pendapatan belum diperolehinya. Tetapi rakan itu sewajarnya tidak berterusan sedih sebaliknya meningkatkan usaha dan doa kerana rezeki itu insya-Allah tetap ada selagi seseorang itu masih bernafas di bumi Allah ini. Kalau tiada rezeki, bermakna seseorang itu sudah mati.


LanH Thu Jul 31, 08

0 Responses to Apabila tambang bas ekspres naik 40-60 peratus...